Apabila kita berbicara tentang Melayu, adakah kita benar-benar mengerti siapa Melayu yang sebenarnya? Dan apakah definisi Melayu yang setepatnya?
Dr Ihsanuddin Abas, Timbalan Pengerusi ISMA-Australia.
Selain maksud Melayu di atas, ada dua lagi bentuk penafsiran kepada Melayu iaitu secara antropologi dan perlembagaan.
Secara antropologi, Melayu bermaksud orang yang secara zahirnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah-lembut dan berbudi bahasa. Kalau begitu, tidak Melayulah kita kalau tidak bersopan santun, berbadan sedikit besar dan berkulit cerah.
Manakala Perlembagaan Malaysia merujuk istilah “Melayu” hanya kepada seseorang yang beragama Islam, bertutur Bahasa Melayu, mengamalkan adat istiadat Melayu dan lahir sebelum Merdeka sama ada di Persekutuan Tanah Melayu atau Singapura.
Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu. Sebab itu di Malaysia, siapa yang masuk Islam meskipun dari bangsa Cina dan India dikira sebagai ‘masuk Melayu’. Dan saudara-mara ‘Melayu Islam’ kita di Patani dan Mindanao tidak kita kira sebagai kaum keluarga kita sendiri. Meskipun mereka hidup terseksa diperintah oleh orang bukan Islam, kita tidak tergerak untuk bersimpati jauh sekali membantu mereka.
Ketiga-tiga maksud di atas memberi gambaran yang berbeza kepada keMelayuan yang kita fahami. Meskipun ada penindanan pada maksudnya namun ia tidak merangkumi keseluruhan maksud Melayu yang kita mahu.
Jadi, Melayu bagaimanakah yang perlu kita kenali? Penting untuk mengenali maksud Melayu yang sepatutnya kerana dengan itu mudah bagi kita membina jatidiri Melayu yang kita kehendaki. Kenapa hendak dibanggakan sangat dengan Melayu, bukankah ini Asobiyyah (perkauman) namanya? Inilah salah faham yang perlu kita sama-sama perbaiki.
Sebagai orang Islam, Al-Quran dan As-Sunnah adalah panduan asas kita. Marilah kita merujuk kepada kedua-dua sumber ini untuk mengetahui kedudukan bangsa dalam Islam.
Islam tidak pernah meninggalkan faktor bangsa dalam perkembangan dakwah di kalangan manusia. Allah berfirman dalam surah Al-Hujurat ayat 13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak-puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang lebih bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.”
Islam mengiktiraf perbezaan bangsa namun bukan sebagai unsur perpecahan. ‘Saling kenal-mengenali’ yang dinyatakan adalah untuk tujuan kebaikan supaya kita saling memahami dan saling membantu atas kebajikan. Namun di atas kesemua itu, bukanlah bangsa yang menilai kehebatan seseorang, tetapi keIslaman atau lebih tepat lagi ketaqwaan adalah kayu ukur di sisi Allah swt.
Nabi Muhammad s.a.w berdakwah bukan sahaja kepada kaum Quraisy tetapi juga kabilah-kabilah Arab yang banyak di Tanah Hijaz dan sekitarnya. Antaranya ialah kaum Aus, Khazraj, Yahudi yang berbagai-bagai kabilah dan orang-orang Badwi. Setelah ramai yang memeluk Islam, Rasulullah melantik ketua dari kalangan mereka untuk mengetuai kaum masing-masing. Meskipun diperintah dengan dasar-dasar Islam, namun pengurusan tetap berdasarkan kaum masing-masing.
Selain itu, Saidina Umar Al-Khattab r.a pula berkata ketika pembukaan Baitul Maqdis di tangan Islam “Dahulunya kita adalah bangsa yang hina tetapi Allah telah muliakan kita dengan Islam, mahukah kita kembali menjadi hina”. Ini menunjukkan bagaimana Islam telah menaikkan nilai sesuatu bangsa di hadapan manusia. Bangsa Arab dahulunya dilabel sebagai Jahiliyyah suatu masa menjadi bangsa yang hebat dan gagah mengalahkan kuasa besar dunia hanya dengan berbekalkan Islam yang padu.
Seseorang Muslim hebat bukan sekadar kerana ia beriman kepada Allah tetapi iman itu membentuk manusia menjadi 'INSAN'. Insan itu mampu menilai baik dan buruk, memajukan dirinya dan masyarakatnya, bergerak progresif ke hadapan dan membawa kebaikan kepada semua.
Menilai perkara-perkara di atas sepatutnya membuatkan kita berfikir di manakah letaknya bangsa Melayu yang kita warisi? Meskipun kita merupakan majoriti di Malaysia namun kedudukan Melayu sangatlah rapuh di saat ini. Sudahlah berpecah-belah secara politiknya, ekonomi tidaklah semaju mana, malah dari segi pendidikan pun ramai yang masih ketinggalan. Kita juga kalah dalam persaingan mendapatkan pekerjaan di sektor swasta dan hanya mengharapkan makan gaji di agensi-agensi kerajaaan. Hak-hak orang Melayu Islam semakin hari semakin meniris dan sekiranya tidak dipertahankan kita akan menjadi pupus sepertimana kelompok Aborigine di bumi Australia.
Justeru, jatidiri Melayu yang ingin kita bina ialah Melayu yang asasnya ialah beragama Islam dan mengamalkan segala ciri-ciri Islami yang sempurna. Kita menjunjung tinggi kedudukan Bahasa Melayu, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Sultan sebagai Ketua Agama selagi mana mereka tidak melanggar perintah Allah.
Selain itu, kita tidak meninggalkan budaya dan adat istiadat Melayu yang baik seperti sopan-santun, peramah, menghormati orang tua, gotong-royong, ziarah-menziarahi dan lain-lain. Kekayaan nilai seni yang sangat berharga seperti tenunan, sutera, wau bulan, dikir barat, kompang dan permainan tradisional kita perkayakan.
Budaya Melayu yang merugikan seperti sukakan hiburan berlebih-lebihan dan pembaziran dalam melaksanakan adat Melayu kita tinggalkan. Sifat Melayu yang melemahkan seperti bersifat malas, suka melepak, rempit, merasa lemah, bergantung kepada orang, hasad dengki, dendam, dan busuk hati kita jauhkan.
Kita anjakkan paradigma Melayu dan binakan di atas nilai Islam akan sifat-sifat yang maju, progresif, berdaya saing, saling tolong-menolong untuk kebaikan dan sebagainya. Lihatlah betapa luasnya ruang untuk kita beramal dan bersatu melakukannya. Atas dasar inilah perpaduan Melayu dapat dibina. Ia kelihatan mudah tetapi memerlukan usaha dan keyakinan yang bersungguh. Ayuhlah kita membinanya bersama-sama kerana kitalah generasi pewaris Melayu dan kepimpinan negara di masa hadapan.
oleh : Dr Ihsanuddin Abas
No comments:
Post a Comment