Jan 3, 2010
Kristian dibenar guna perkataan “Allah”
Hakim Mahkamah Tinggi, Lau Been Lan memutuskan akhbar mingguan kristian “Herald” sekarang boleh menggunapakai perkataan “Allah” dalam akhbar dan apa sahaja penerbitannya dan mengisytiharkan larangan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri sebagai “illegal, null and void” (salah, tiada kesan dan terbatal). Keputusan Hakim Lau Been Lan tersebut dibuat dengan asas :
1. Agama-agama lain selain Islam berhak diamalkan dengan aman dan harmoni di Malaysia. (Perlembagaan Persekutuan, Artikel 3).
2. Pemohon, Archbishop Murphy Pakiam berhak bebas dalam bercakap dan mengutarakan pandangan (Perlembagaan Persekutuan, Artikel 10).
3. Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia gagal membuktikan dalam perbicaraan bagaimana dengan menggunakan perkataan “Allah” boleh mengancam keselamatan negara.
Photo: The former Auxiliary Bishop Murphy Nicholas Pakiam was installed as the third Archbishop of Kuala Lumpur on the Feast of the Ascension May 29 at the Cathedral of St John. He succeeds 71-year old Archbishop Anthony Soter Fernandez, who resigned on May 24 due to ill health.
Pada 7/1/2009, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan permit kepada “Herald” dengan syarat tidak boleh menggunakan perkataan “Allah” dan dengan tanda “T.e.r.h.a.d” di Muka Pertamanya (edaran untuk orang Kristian sahaja) demi keselamatan dalam negara dan mengelak kekeliruan dikalangan umat Islam. Namun pada 16/2/2009, penerbit Herald, Archbishop Murphy Pakiam memfailkan permohonan Mahkamah bahawa larangan itu adalah salah, dan perkataan “Allah” bukan hanya untuk agama Islam.
Pandangan saya :
1. Hakim Lau Been Lan membuat keputusan menggunakan dua artikel dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat umum. Oleh sebab sangat umum, lain hakim boleh memutuskan keputusan yang berbeza.
2. Istilah “Keselamatan dalam negara” juga tiada perincian yang sewajarnya menyebabkan ia mudah ditafsirkan oleh sesiapa sahaja. Mereka yang berkepentingan agama dan ideology tersendiri akan menafsirkannya cara tersendiri. Mereka yang berkepentingan politik akan menafsirkannya cara tersendiri pula. Mereka yang lebih dekat kepada umat Islam dan kepentingaan mereka hanya badan-badan Islam dan wakil-wakil rakyat mereka. Namun, adakah wakil-wakil rakyat umat Islam berjuang bersungguh-sungguh di dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN)?
3. Jika dengan bilangan wakil-wakil rakyat Islam dan pengaruh mereka dalam Parlimen terhadap wakil-wakil bukan-Islam (yang ramai sekular), usul larangan menggunakan perkataan “Allah” oleh agama-agama lain adalah mudah untuk diluluskan lalu menjadi akta. Saya tidak fikir kebanyakan wakil rakyat bukan-Islam yang rata-rata ahli politik atau ahli perniagaan dan bukan ahli agama akan beriya-iya untuk menggunakan perkataan “Allah” yang telah lama dipakai (sejak 700 tahun lalu) oleh umat Islam di Malaysia. Malangnya ramai wakil-wakil rakyat Islam kita tidak berfikir dan bertindak seperti ini. Langkah mengaktakan perkara-perkara yang bermenfaat kepada umat Islam kedalam Perlembagaan tidak perlu menunggu sehingga tertegaknya Daulah Islam terlebih dahulu.
4. Selepas ini tidak salah orang-orang kristian mengatakan “Allah” beranak atau mempunyai anak dihadapan umat Islam samada dalam perbualan, penulisan lebih-lebih lagi dalam media massa dan ucapan umum. Diantara mereka mempercayai Nabi Isa (Jesus) sebagai anak Tuhan. Mahasuci Allah dari tohmahan tersebut.
5. Pemakaian perkataan “Allah” dinegara lain tidak boleh dijadikan alasan membolehkan pemakaian tersebut di negara Malaysia. Contoh sesetengah Arab Kristian menggunakan perkataan “Allah” dalam insyaAllah, alhamdulillah dll. Syariat atau undang-undang berbeza dari satu negara ke satu negara bergantung kepada realiti setempat, keadaan masyarakat, keadaan masa dsb sama seperti undang-undang jalanraya, imigresen dsb disesebuah tempat. Perkataan “Allah” oleh semua penduduk berbilang agama dalam sesetengah negara tidak menimbulkan kekeliruan berbanding jika ianya tersebar dikalangan masyarakat di Malaysia.
6. Jika keputusan KDN vs Murphy Pakiam diatas menjadi precedence case (kes sulung/terdahulu yang boleh dijadikan rujukan dan panduan penghakiman-penghakiman selepas ini), pengikut-pengikut agama lain juga kini boleh bebas menggunakan perkataan “Allah” di Malaysia. Disebabkan “Allah” mereka berbeza, mereka bebas, dan dijamin Perlembagaan Persekutuan, untuk menyifatkan “Allah” mengikut kehendak kepercayaan mereka walaupun dengan sifat-sifat yang bertentangan dengan Allah yang sebenar yang diimani oleh umat Islam seperti berupa patung, binatang dan sebagainya. Apabila berlaku di Denmark, disiarkan kartun bernama “Muhammad” berlaku huru hara bukan sahaja di Denmark, tetapi kebangkitan hampir di seluruh dunia, bagaimana pula yang akan berlaku jika disiarkan satu patung berkepala binatang bernama “Allah” dibumi Malaysia kesan dari keputusan Lau Been Lan tersebut ?
7. Adakah isu ini yang baru sahaja lahir tahun lalu setelahmana umat Islam di Malaysia menggunakan perkataan Allah sejak 700 tahun lalu, menunjukkan peningkatan jiwa, kepekaan dan aktivisma umat bukan-Islam di negara ini, atau sebaliknya menunjukkan kekhuatiran mereka terhadap kepupusan berbanding Islam yang teguh seperti yang disebut oleh Prague Cardinal Miloslav Vlk. Atau adakah ia menunjukkan penurunan terus menerus kepekaan, penghayatan dan identiti Islam di dalam jiwa-jiwa umat Islam itu sendiri kesan dimamah suasana, pengaruh dan pendidikan Barat yang menguasai media massa, sistem dan cara mereka berfikir setiap hari dalam masa yang panjang ? Disebabkan kurang sensitif dan kemunduran jiwa seperti ini, orang-orang bukan-Islam lebih terbuka dalam mengemukakan sesuatu yang sensitif, berbanding dengan dekad dan zaman sebelum ini ?
Semoga Allah swt menguatkan jiwa umat Islam, membawa mereka kearah memahami dan menghayati agama mereka yang benar iaitu Islam. “Sesungguhnya Allah tidak merubah nasib suatu kaum sehingga mereka merubah apa yang didalam jiwa mereka sendiri” (Al-Quran).
Ustaz Halim www.inijalanku.wordpress.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment