Sel merupakan unit yang paling asas kepada kehidupan. Sel-Sel ini akan bergabung membentuk tisu dan akhirnya melalui proses transformasi kepada organ – organ di dalam tubuh badan kita. Apa yang lebih menakjubkan, organ- organ ini akan saling berinteraksi antara satu sama lain untuk menjalankan sesuatu fungsi seperti pernafasan, perkumuhan , reproduksi dan sebagainya. Natijahnya, kita dapat menjalankan kehidupan seharian dengan begitu sempurna sekali.
Sekiranya berlaku sesuatu terhadap sistem badan ini, maka sel-sel yang masih aktif dan sihat akan membaiki segala kerosakannya. Namun begitu, proses pembaikan sistem ini akan tergangu sekiranya unit asas kepada sistem ini iaitu sel tidak berfungsi dengan baik.Dengan kata lain, sel ini sudah tidak mengikuti fungsi asalnya. Saya bawakan kanser sebagai contoh, apabila p53 sudah tidak lagi berperanan untuk mengawasi pertumbuhan sel, maka sel kanser akan menjelma dan akan menjangkiti sistem tubuh yang lain. Maka terhasilah komplikasi yang lebih teruk sehingga membawa kepada kematian. Begitulah pentingnya sekali peranan sel dalam sistem fisiologi manusia. Walaupun sel ini kecil, namun peranannya amat besar sekali.
Begitulah analogi panjang yang boleh saya kaitkan dengan sistem kehidupan kita pada hari ini.Bila kita berkata mengenai sistem ISLAM, tidak lain dan tidak bukan, unit yang paling asas untuk menjelmakan sistem yang syumul ini adalah manusia. Manusia yang berfungsi dengan baik akan berusaha menjadikan dirinya sebagai individu muslim yang terbaik. Individu-Individu Muslim ini pula akan berkembangbiak sebagai rumah tangga muslim pula,kemudian membentuk masyarakat muslim, Negara muslim, sehinggalah ISLAM menjadi pemimpin kepada dunia ini.
Pada ketika ini, ‘sel-sel’ muslim sudah tidak lagi berfungsi dengan baik. Ya, mungkin disebabkan ‘kod genetiknya’ sudah dimutasi oleh virus-virus jahiliyah yang sudah merebak luas. Jikalau ‘sel-sel’ ini tidak dirawat, maka kanser@ barah akan timbul dalam masyarakat sepertimana yang kita dapat perhatikan dengan mata kepala kita sendiri. Fenomena buang anak, pergaulan bebas, pembunuhan semasa sendiri dan bermacam lagi jenis jenayah merupakan jenis-jenis barah yang telah menjangkiti masyarakat.
Jadi apakah rawatan yang paling mujarab? Penyakit barah yang sudah parah ini mesti diubati dengan merawat punca kepada permasalahan ini. Objektif utama rawatan perlulah berfokuskan kepada punca yang asas iaitu ‘sel’. Sekiranya seorang mekanik akan merujuk panduan manual untuk membaiki kenderaan yang rosak, maka solusi kepada ‘sel-sel’ muslim ini juga berpandukan ‘buku manualnya’ yang telah diturunkan oleh PENCIPTANYA yang maha Agung. Jadi Al Quran merupakan buku manual kepada manusia.Sebarang kerosakan pada rohani manusia boleh diubati dengan merujuk kepada manual-manual yang terdapat dalam al-quran. Al- quran dan As- Sunnah mampu merawat dan membaiki ‘genetik kod’ yang termutasi oleh virus jahiliyah ini. Jadi tugas yang dipikul oleh kita sekarang ialah sebagai sel-sel yang mengajak sel-sel yang lain untuk berubat untuk menjadi sel yang mampu menjalankan fungsinya dengan baik. Dengan erti kata yang lain, untuk menjadi individu muslim yang baik.Sekiranya perkara asas ini sudah menjadi realiti maka KEMBALINYA ISLAM untuk memimpin dunia bukan lagi satu ilusi tetapi perkara yang pasti.Wallahualam =)
(Mohon ditegur sekiranya ada kesilapan dalam artikel ini)
No comments:
Post a Comment