'' 10 penumpang maut apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas dan melanggar pembahagi jalan di km 272.7 Lebuh Raya Utara Selatan hala utara, di sini pagi ini.
Kejadian tersebut berlaku sekitar jam 1.00 pagi tadi di lorong tengah, kira-kira 5km dari Tol Jelapang.'' - Utusan Malaysia
Berita kemalangan di kawasan Jelapang bukanlah sesuatu yang baru dilaporkan. Malah kemalangan di kawasan ini sahaja telah meragut puluhan nyawa pengguna jalan raya. Sekiranya dahulu masalah geografi tol jelapang yang agak curam menjadi penyebab utama berlakunya kemalangan. Namun kali ini beritanya agak berlainan. Tol sudah pun dipindahkan di kawasan yang selamat. Kecuaian pemandu dikatakan kemungkinan penyebab utama insiden ini berlaku. Agak pelik kerana pemandu yang sedang memandu bas itu baru sahaja mula bertugas semasa pesinggahan di Simpang Pulai yang tidak jauh dari jelapang. Memang benar kata orang, kemalangan tidak berbau. Namun kes kecuaian pemandu bukanlah isu yang baru. Malah sudah kali kita dengar sikap pemandu yang membawa bas melebihi hadlaju, pemandu mengantuk dan pemandu yang sudah banyak membuat kesalahan jalanraya.
Memang benar banyak langkah telah diambil untuk mengelakkan kemalangan seperti ini berlaku, tetapi keberkesanannya masih lagi boleh dipersoalkan. Bagi saya cadangan untuk tidak membenarkan perjalanan bas pada waktu malam ada baiknya diketengahkan semula dan dibincangkan. Kepada pengurus-pengurus bas, anda perlu memastikan kebajikan dan kesihatan pemandu-pemandu anda dalam keadaan baik. Mungkin ada baiknya pasukan para medik dan ambulan di tempatkan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi kemalangan. Hal ini bagi saya boleh mempercepatkan rawatan kecemasan dengan kadar yang segera kepada mangsa-mangsa kemalangan sekiranya berlaku.
Kepada pemandu bas, anda perlu ingat bahawa anda sedang membawa puluhan nyawa menuju destinasi yang ingin dituju. Mereka juga mempunyai keluarga yang menanti kepulangan mereka. Sekiranya mengantuk, ambillah langkah untuk berehat sebentar.
Ingatlah bahawa kecuaian kita sebenarnya yang telah mendatangkan takdir yang buruk ini. Jangan biarkan nyawa penumpang tidak berdosa tergadai dek kecuaian kita. Mari kita sedekahkan al fatihah kepada mangsa kemalangan.
No comments:
Post a Comment